Sambal Hitam adalah hidangan tradisi istimewa masyarakat Pahang terutama di kawasan Kuala Lipis, Raub dan Jerantut.

Sambal Hitam merupakan salah satu menu yang unik selain daripada hidangan popular; gulai tempoyak ikan patin, dan mungkin ada di antara kita tidak pernah mendengar satu lagi juadah unik Pahang iaitu masak asam rong yang diperbuat daripada biji getah.

Namun begitu, hari ini kami ingin becerita mengenai Sambal Hitam dan bagaimana kami di Sambal & Style mengolah dan memberi inovasi kepada Sambal Hitam agar lebih ramai dapat menikmati keenakannya.

Untuk membuat sambal ini tidak lah mudah dan memakan masa. Bahan utama untuk membuat sambal hitam ialah belimbing buluh. Jika di sesetengah tempat, belimbing buluh ini digunakan dalam masakan seperti masak lemak pedas, masak lemak cekur atau sambal tahun. Ada juga dicampur dalam sambal mentah atau di sebut sambal gesek. Malah paling istimewa belimbing ini juga boleh dibuat halwa. Selalunya buah belimbing tersebut hanya berguguran sahaja, hendak dimakan begitu saja terlalu masam rasanya.

Perkara asas untuk membuat Sambal Hitam adalah bermula dengan membuat asam belimbing menerusi langkah-langkah berikut:

  • Belimbing-belimbing yang telah matang akan dipetik sebelum menjadi terlalu masak dan berguguran ke tanah.
  • Untuk merebus belimbing tersebut, bersihkan belimbing kemudian rebus tanpa air dengan api yang kecil. Merebus belimbing ini memakan masa yang agak lama.
  • Rebus sehingga belimbing kecut dan bertukar warna cokelat kehitam-hitaman. Biasanya rebus semalaman untuk kecut. Tempoh masa rebusan yang mencukupi bertujuan supaya ketahanan belimbing tersebut untuk disimpan lama sehingga setahun dua.

Setelah asam belimbing siap disediakan, sekarang kita boleh beralih kepada cara-cara memasak sambal hitam. Berikut kami sediakan resipi asas penghasilan Sambal Hitam yang boleh anda sediakan di rumah:

Resepi Sambal Hitam Pahang

1 mangkuk ikan bilis yang dibuang perutnya
1 biji bawang besar – hiris
10-15 biji cili padi (pedas ikut rasa masing-masing)
6-7 biji asam belimbing rebus
Sedikit kicap
Sedikit gula
Sedikit garam
3/4 cawan minyak masak (lebih kurang)

Cara membuatnya:

  • Tumbuk cili padi sehingga lumat menggunakan lesung batu.
  • Kemudian masukkan pula asam belimbing dan lenyek-lenyekkan dengan lesung biar bercampur dengan cili.
    Masukkan pula ikan bilis dan tumbuk separuh hancur.
  • Panaskan minyak. Tumiskan bawang, tak perlu tunggu bawang layu atau naik bau, terus sahaja masukkan ikan bilis yang telah ditumbuk bersama cili tadi.
  • Goreng menggunakan api sederhana.
  • Masukkan sedikit kicap, garam dan gula.
  • Kacau lagi sehingga agak-agak garing. Atau pun mengikut citarasa masing-masing. Sebab ada yang suka sambal ini rasa lembut-lembut, tak suke garing. Ada juga yang suka sedikit. Jaga-jaga jangan sampai hangit pulak. sambal ini juga boleh tahan berminggu kalau dimasak garing dan kering.
  • Apabila sudah garing tutupkan api lalu, tolakkan sambal ke tepi kuali beberapa minit supaya minyak tos sebelum dihidang. Atau boleh juga angkat dan sejatkan sambal menggunakan penapis santan sebelum dihidangkan dengan nasi putih atau ketupat pulut.

Itulah sedikit sebanyak mengenai Sambal Hitam dan bagaimana menghasilkannya. Di Sambal & Style kami mempunyai azam untuk mempopularkan juadah tempatan yang diolah mengikut citarasa moden seiring dengan peredaran zaman.

Menerusi eksperimen dan ujian cipta rasa yang dihasilkan di dapur inovasi bersama Suhaimi Sulaiman, kami telah menghasilkan beberapa juadah berasaskan Sambal Hitam yang semestinya mampu menarik lebih ramai peminat dan sekaligus meletakkan Sambal Hitam ke persada antarabangsa. Antara juadah tersebut adalah:

Nasi Goreng Sambal Hitam – Rasanya saling tidak tumpah seperti Nasi Goreng Kampung, namun rasa masam daripada belimbing telah menaikkan rasa nasi goreng ini menjadi lebih unik, apatah lagi dihidangkan bersama telur mata dan dua ketul ayam goreng rangup. Pasti anda akan menggemarinya!

Sambal Noir Spaghetti – Merupakan intepretasi moden Sambal Hitam ke dalam menu barat. Jika anda menikmati Spaghetti Sambal Noir, semestinya akan membawa memori anda mengenai Spaghetti Aglio Olio dengan Ikan Bilis Jeruk (Anchovies). Dengan bahan berkualiti masakan barat seperti keju parmesan, tomato ceri dan daun roket/arugula, menjadikan spaghetti ini berada di dalam kelasnya yang tersendiri!

Prata Sambal Hitam – Prata Sambal Hitam adalah diinspirasikan oleh Burrito dari Mexico. Sambal Hitam digaul bersama telur untuk dijadikan ‘omelette’, kemudian disumbat ke dalam roti prata/canai dan dihihidang bersama kual dhal pekat yang sememangnya kombinasi ‘win!’

Bubur Nasi /Oats Sambal Hitam – Bagi anda yang memilih untuk menikmati juadah yang lebih sihat, Bubur Nasi/Oats Sambal Hitam merupakan pilihan terbaik. Bubur Nasi/Oats disediakan ala ‘Teo Chew’ dengan pelbagai pilihan ‘side dishes’ seperti kangkung goreng, ikan bilis dan kacang goreng, halia jeruk, kobis jeruk, telur masin dan paling istimewa; Sambal Hitam dimakan bersama, semestinya membangkitkan selera anda!

 

View this post on Instagram

 

Bubur Oats Sambal Hitam.

A post shared by Sambal & Style (@sambalstylesleep) on

Jika anda ingin merasai pengalaman baru menikmati juadah Sambal Hitam di atas, datanglah berkunjung ke kafe kami, Sambal & Style, 170 Jalan Bunga Raya Pantai, 75100 Melaka.

Kami mengalu-alukan kedatangan anda!

Rujukan: http://jpnpahang.moe.gov.my/ppdjerantut/v1/index.php/ms/30-popular/87-sambal-hitam