Suatu ketika dahulu, Sungai Melaka dikenali sebagai ‘Venice Timur’ oleh para pelayar Eropah. Ini kerana terdapatnya pelabuhan tersohor yang menjadi titik pertemuan para pedagang dari Eropah dan Asia pada penghujung abad ke-16. 

Sungai yang sepanjang 10 kilometer ini juga dikatakan menjadi tempat bersejarah bagaimana Melaka ditemui dan dibuka oleh Parameswara, lalu membina istana di sebelah bahagian timur tebingan sungai tersebut (di kaki Bukit St. Paul) pada tahun 1400-an. 

Nikmati Keindahan Sungai Melaka menerusi ‘River Cruise’

Kini, Sungai Melaka menjadi tarikan pelancong kerana terdapatnya ‘River Cruise’ yang menawarkan pengalaman menarik bersiar di tebingan sungai sambil menikmati keindahan sejarah bangunan kolonial, rumah kedai antik, penempatan setempat dan jambatan-jambatan lama serta seni mural moden yang dipaparkan pada bangunan-bangunan di sepanjang sungai. 

Apa yang menarik terdapat di sepanjang Sungai Melaka? Ini senarainya.

Jambatan dan Sungai

Sungai Melaka mengalir dari Dataran Belanda atau ‘Dutch Square’ dan melintasi Jambatan Tan Boon Seng. Ketika era penjajahan Portugis di Melaka, mereka telah menawan jambatan tersebut dan memutuskan hubungan di antara kedua-dua belah bahagian sungai serta memecahkan Melaka kepada dua bahagian, sekaligus mengakibatkan kekalahannya.  

Terdapat banyak lagi jambatan di sepanjang Sungai Melaka yang amat menarik untuk diterokai. Selain Jambatan Tan Boon Seng, terdapat juga Jambatan Hantu Melaka atau ‘Ghost Bridge of Malacca’ (jambatan pejalan kaki yang menghubungkan Kampung Pantai dan Kampung Jawa) dan Jambatan Pasar Lama atau Old Market Bridge (yang menghubungkan Kampung Hulu, Jalan Kee Ann dan Pasar Lama). 

Dikatakan pada masa dahulu, pemandangan di sekitar jambatan-jambatan ini sangat menarik dengan berlatarbelakangkan sampan-sampan nelayan, namun kini lanskapnya berubah dengan deretan bangunan-bangunan lama yang menempatkan restoran cina dan kafe-kafe. Satu fakta menarik, salah sebuah restoran di tebing sungai ini telah menjadi lokasi bagi penggambaran filem ‘blockbuster’ Hollywood, Entrapment: yang dibintangi oleh Sean Connery dan Catherine Zeta-Jones. 

Jambatan Chan Boon Cheng

 Juga terdapat di Sungai Melaka adalah Jambatan Chan Boon Cheng yang bersejarah. Suatu ketika dahulu jambatan ini dibina menggunakan struktur konkrit sehingga ubahsuai besar-besaran pada tahun 1963, apabila ia dinaiktaraf dengan fasad/kerangka besi. 

Pada awal tahun 1920-an, jambatan ini menghubungkan penempatan lama dengan ‘Chinatown’ (kini dikenali sebagai Kampung Pantai) di sebelah barat tebing sungai dengan penempatan baru di ‘Chinatown’ (menerusi Jalan Bunga Raya) di sebelah timur. 

Jambatan ini sangat terkenal dengan sejarah silam yang mengerikan. Ketika penjajahan Jepun, askar-askar Jepun telah menggantung kepala-kepala mangsa yang dipenggal pada hujung jambatan, sebagai peringatan kepada masyarakat setempat untuk tidak memberontak dan menentang mereka. 

Kampung Morten

Setelah melalui beberapa jambatan, Sungai Melaka membawa anda ke Kampung Morten; sebuah perkampungan Melayu yang diklasifikasikan sebagai tapak warisan negara. 

Kampung ini mungkin kelihatan seperti perkampungan Melayu yang lain, namun kampung ini mashyur sebagai sebuah muzium hidup dengan senibina Melayu yang terpelihara dan dipulihara sepertimana dahulukala. 

Sebuah gereja Portugis lama yang dikenali sebagai ‘Church of Rosary’ juga terletak di Kampung Morten, walaupun hanya tinggal runtuhan, namun struktur tersebut kekal dalam lipatan masa sebagai satu tanda penjajahan mereka di Melaka pada tahun 1641. 

‘Street Art’ di Sungai Melaka

Anda pasti tidak terlepas pandang terhadap seni mural yang berwarna terang pada bangunan di tebingan Sungai Melaka. ‘Street Art’ ini dapat dilihat dengan jelas di sepanjang Jalan Kampung Hulu, berdekatan Jonker Street. Juga dikenali sebagai ‘Melaka River Street Art Project’, projek ini adalah kolaborasi di antara pelukis dan artis grafiti tempatan bagi menghasilkan rekabentuk seni yang menarik mata pengunjung berlatarbelakangkan bangunan lama sebagai kanvas mereka.  

Sebagai memperingati keunikan identiti, warisan dan mercu tanda ikonik, seni mural pada bangunan-bangunan lama tersebut memaparkan orang utan, kuda liar serta buah-buahan dan makanan tempatan.  Walaupun anda boleh melihat seni mural ini dari jauh ketika menaiki ‘River Cruise’, adalah dicadangkan untuk anda menikmatinya dengan berjalan kaki, di mana anda lebih bebas untuk mendapatkan syot-syot menarik di dalam gambar. 

Pasar Malam Jonker Walk

Ketika era penjajahan Belanda, orang gaji dan pekerja-pekerja bagi penjajah Belanda tinggal di penempatan berdakatan Jalan Heeren. Setelah Belanda meninggalkan Melaka, kawasan Jonker Walk ini menjadi penempatan orang kehormat. Orang kaya peranakan mula tinggal dan berniaga di kawasan ini, memberikan dimensi rasa dan budaya etnik tersebut.

Kini Jonker Walk menjadi titik pertemuan ‘Chinatown’ yang membariskan kedai-kedai antik, pakaian, kraftangan dan kafe-kafe. Saban hujung minggu tiba, Jonker Walk akan bertukar menjadi pasar malam dengan pelbagai juadah dan barangan-barangan menarik. 

Galeri-galeri Seni

Jika anda seorang pencinta seni halus, tebingan Sungai Melaka juga menawarkan koleksi-koleksi seni hebat yang mungkin tidak terdapat di tempat lain menerusi galeri-galeri seni yang terdapat di sekitar Jonker Walk.

Antaranya adalah ‘Orang Utan House’ di mana anda sudah pasti tidak akan terlepas pandang mural orang utan gergasi di tepi galeri tersebut. 

‘Orang Utan House’ menawarkan pelbagai hasil kerja seni seperti lukisan, baju kemeja-t yang comel lagi menarik serta banyak lagi. 

Selain ‘Orang Utan House’, anda juga boleh berkunjung ke Galeri Seni Melaka, Galeri Artis Tan Siew Inn, Galeri Cheng Ho, Galeri Seni Ilusi 3D, Galeri Seni GM Choo dan Rumah Malaqa. 

Muzium-muzium Bersejarah

Kunjungan ke Melaka, tidak sempurna jika tidak melawat Muzium-muzium bersejarah di sekitar Banda Hilir, berdekatan dengan Sungai Melaka. Di sekitar Sungai Melaka, bukan hanya ada tapak bersejarah kota A’Farmosa yang menempatkan muzium-muzium di bangunan merah dan Stadhuys, malah terdapat juga muzium gaya hidup yang sangat menarik untuk dikunjungi.

Antara muzium yang harus dikunjungi adalah Muzium Warisan Baba dan Nyonya. Muzium yang terletak di barisan rumah kedai antik ini merupakan komibinasi rumah teres tiga lot yang dimiliki oleh keluarga Chan pada tahun 1861. Setelah empat generasi mendiaminya, rumah tersebut dibuka kepada umum sebagai muzium pada tahun 1985. 

Kunjungan ke Muzium Warisan Baba dan Nyonya ini mengimbau kekayaan budaya dan warisan peranakan yang dipaparkan menerusi gaya hidup dan kerencaman adat tradisi mereka.

Anda juga boleh berkunjug ke muzium-muzium lain yang menarik seperti Muzium Kebudayaan Cheng Ho, Muzium Seni Barang Kemas Cina Selat, Muzium Sejarah dan Etnografi, Muzium Kerajaan Demokratik, Muzium Kaligrafi Sim Mow Yu dan banyak lagi. 

Pengalaman Gastronomi

Setelah penat bersiar-siar di tebingan Sungai Melaka, sudah pasti akan terasa lapar dan dahaga. Di sepanjang Sungai Melaka terdapat banyak restoran, kedai makan dan kafe-kafe yang mampu menawan citarasa anda.

Bagi mereka yang gemar berhibur mendengar muzik sambil makan dan minum, Hard Rock Cafe merupakan tumpuan utama di sekitar Sungai Melaka. Berada di antara jambatan menghubungkan Banda Hilir dan Jonker Walk, Hard Rock Cafe ini pastinya mudah dilihat dari jauh apabila dilimpahi lampu neon di malam hari. 

Jika anda yang gemar melakukan eksplorasi, mencari makanan pelbagai variasi dan unik, di sekitar Sungai Melaka terdapat kafe-kafe hipster yang menawarkan pelbagai jenis kopi hingga juadah istimewa. 

Di sekitar tebing Sungai Melaka ini juga menempatkan Sambal & Style, di mana anda dapat merasai keenakan juadah tradisional yang diolah mengikut citarasa moden, semestinya memberikan pengalaman gastronomi baru. 

Itu tadi perkara-perkara menarik di sepanjang Sungai Melaka yang dapat anda rasai jika berkunjung ke Melaka. Rasa terpanggil untuk ke Melaka? Tunggu apa lagi? Tempahlah penginapan anda SEKARANG!