Category:

Birunya si Bunga Telang, walaupun biru, punyai 1001 khasiat!

December 19, 2019 in Cerita-Ceriti

Adakah anda sering mengalami keletihan? Rasa tertekan? Kebimbangan? Tidak dapat tidur? Mencuba untuk hamil? Sembelit? Penglihatan rabun? Keguguran rambut dan beruban? Adakah kulit anda kehilangan kolagen?

Bunga Telang dikatakan dapat membantu masalah-masalah yang dinyatakan di atas. 

Dalam bahasa saintifik, Bunga Telang dikenali sebagai Clitoria ternatea, adalah tergolong dalam keluarga polong-polongan atau Fabacea ini merupakan ramuan herba luar biasa yang tumbuh melata di kawasan beriklim khatulistiwa. 

Digunakan secara meluas dalam perubatan tradisional Cina dan Ayurveda, Bunga Telang telah dijadikan ramuan dalam menguatkan ingatan, meningkatkan fungsi otak, anti tekanan serta ejen penenang untuk berabad lamanya. 

Dikenali dengan warna biru-indigo yang menyerlah, Bunga Telang juga digunakan sebagai salah satu bahan dalam masakan, memberi warna kepada manisan atau membuat air teh berwarna menarik. 

Bunga yang pohonnya tumbuh menjalar dan memanjat ini penuh dengan khasiat kesihatan; kaya dengan anti-oksidan, flavonoid dan peptida serta menunjukkan hasil memberangsangkan dalam kajian klinikal terhadap haiwan yang berhadapan dengan pelbagai keadaan kesihatan. 

Banyak produk kecantikan di pasaran ketika ini juga menggunakan Bunga Telang kerana kesan flavanoid dan quercetin ke atas kulit dan rambut. 

Mari kita lihat manfaat Bunga Telang berdasarkan khasiat yang terdapat di dalamnya:

1. Meningkatkan penglihatan
Bunga Telang mengandungi antioksida yang dipanggil proanthocyanidin, yang meningkatkan aliran darah ke kapilari mata, mujarab dalam rawatan glaukoma, penglihatan kabur, kerosakan retina atau keletihan mata.

2. Melebatkan rambut
Kaya dengan bioflavonoid, Bunga Telang dapat melebatkan rambut dan mengurangkan uban.

3. Merawat kulit kusam
Agen antioksida dalam Bunga Telang menggalakkan pengeluaran kolagen dan proses sintesis elastin, di mana ia dapat mengembalikan keremajaan kulit dan mengurangkan kedutan serta tanda penuaan.

4. Untuk tenaga batin
Bunga Telang digunakan secara meluas untuk meningkatkan tenaga batin (afrodisiak) dalam kalangan wanita dan digunakan bagi merawat masalah datang bulan dan keputihan. 

5. Antioksida
Flavonoid, antisianin dan kandungan fenolik dan Bunga Telang dapat mengaktifkan aktiviti antioksida, di mana ia mengurangkan tekanan oksidatif akibat penyakit dan bahan penuaan yang radikal. 

6. Nootropik
Bunga Telang terbukti dapat meningkatkan fungsi kognitif dan fungsi otak. 

7. Diuretik
Bunga Telang menggalakkan proses membuang air di mana ia dapat mengurangkan tekanan darah rendah. 

8. Analgesik
Bunga Telang merupakan sebatian tradisional yang digunakan sebagai ubat tahan sakit bagi mengurangkan kesakitan dan pembengkakan. 

9. Penenang
Bunga Telang dapat menenangkan badan, mengurangkan tekanan dan kebimbangan. 

10. Anti radang
Warna biru-indigo dalam Bunga Telang kaya flavonoid yang boleh didapati daripada banyak buah-buahan dan sayur-sayuran. Merupakan antioksida dan anti radang yang dapat memberi manfaat kepada sistem imunisasi badan. 

11. Anti asmatik
Digunakan bagi merawat demam selesema, batuk dan asma, di mana ia mengurangkan keradangan pada organ pernafasan. 

12. Anti kemurungan dan tekanan
Penggunaan dos yang tinggi, memungkinkan adaptogenik – membantu badan menangani tekanan. 

13. Anti diabetik
Bunga Telang terbukti dalam mengawal pengambilan glukosa secara berlebihan akibat diet tidak sempurna. 

14. Anti HIV
Bunga Telang merupakan salah satu herba yang mengandungi siklotida, yang telah menunjukkan kesan anti HIV dalam beberapa kajian klinikal. 

15. Anti kanser dan anti tumor
Siklotida dalam Bunga Telang juga dapat menghapuskan sel kanser dengan merosakkan permukaan membran sel tersebut.  

16. Anti mikrob
Dalam beberapa kajian di India, Bunga Telang menunjukkan kesan anti mikrob yang signifikan ke atas bakteria Stafilokokus Aureus. 

17. Anti sawan
Bunga Telang terbukti dalam mengurangkan kekejangan dan tekanan kepada badan akibat sawan.

18. Anti piretik
Mengurangkan demam dengan memastikan kelancaran saluran darah di bahagian bawah kulit, di mana oksigen dapat menurunkan suhu dalam darah dengan mudah. 

Bunga Telang sebagai ramuan masakan

Di Asia Tenggara, Bunga Telang digunakan sebagai pewarna makanan semulajadi. Dalam masakan tradisional Thai, Bunga Telang dikisar dan diperah bagi mendapatkan pewarna biru yang kemudiannya dicampur bersama santan kelapa dan ramuan lain bagi mendapatkan warna biru dan ungu semulajadi dalam manisan mereka. ‘Nam dok anchan’ merupakan minuman sirap berwarna biru-indigo yang menjadi minuman popular, diperbuat menggunakan Bunga Telang, madu dan air gula. 

Masakan Thai dan Myanmar juga menggunakan Bunga Telang yang dicelup ke dalam tepung dan digoreng sepertimana hidangan Tempura oleh masyarakat Jepun.

Minuman teh pula dihasilkan menggunakan Bunga Telang, serai yang dikeringkan dan akan bertukar warna bergantung kepada ramuan, contohnya jika lemon atau limau diperah kedalamnya, ia akan bertukar warna ungu. 

Di Filipina, Bunga Telang dijadikan ulam-ulaman dimakan bersama nasi dan lauk-pauk yang lain.

Dalam masakan Melayu dan peranakan Baba Nyonya, pati Bunga Telang digunakan bagi memberi warna biru kepada beras pulut untuk Kuih Pulut Talam, Seri Muka dan Kuih ‘Nyonya Chang’. 

Manakala bagi masyarakat Melayu Kelantan dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia, mereka menambah beberapa kuntum Bunga Telang ketika menanak nasi bagi memberi warna kebiruan pada Nasi Kerabu. 

Inovasi Bunga Telang di Sambal & Style

Melihatkan kepada manfaat yang terdapat pada Bunga Telang, kami di Sambal & Style telah menjadikannya sebagai antara bahan utama dalam penyediaan makanan dan minuman di kafe kami. 

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Sambal & Style (@sambalstylesleep) on

Bunga Telang yang ditanam sendiri secara organik di laman belakang kafe kami ini dipetik, dikering, dikisar dan diperah untuk dijadikan pelbagai minuman penghilang dahaga.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Sambal & Style (@sambalstylesleep) on

Antara minuman berasaskan Bunga Telang menjadi perhatian para pelanggan kami adalah Teh Bunga Telang, Telang dengan Herba dan Telang Mojito. Selain itu, Air Bunga Telang juga dicampur dengan pelbagai pilihan buah-buahan lain seperti laici, longan, limau nipis, limau kasturi, nenas, nangka, kelapa laut dan asam boi. 

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Sambal & Style (@sambalstylesleep) on

Bagi anda yang menggemari minuman bersoda, Fizz Telang with Herbs enak diminum ketika cuaca panas bagi menghilangkan rasa dahaga serta-merta. 

Selain daripada minuman yang dinyatakan di atas, kami juga sentiasa melakukan eksperimen bagi menghasilkan produk lain berasaskan Bunga Telang. Mungkin selepas ini, para pelanggan kami dapat menikmati latte dan Teh Boba Telang? 

Suhaimi Sulaiman menggemari Teh Bunga Telang

Idea Bunga Telang di Sambal & Style adalah dicetuskan oleh pengasasnya, Suhaimi Sulaiman yang berasakan Bunga Telang ini dapat memberi satu kelainan dan ‘excitement’ kepada para pelanggan kami. 

Ternyata percaturan Suhaimi membuahkan hasil apabila minuman Bunga Telang menjadi pilihan utama para pelanggan baru dan rakan-rakan kami yang telah menjadi pelanggan setia. 

Saban kali menjelang hujung minggu, Suhaimi sentiasa tidak sabar untuk kembali ke Melaka dari Kuala Lumpur bagi menikmati Teh Bunga Telang. 

“Saya tak sabar balik Melaka, sebab dapat minum Teh Bunga Telang! Maklumlah kerja di Kuala Lumpur penuh dengan cabaran dan tekanan; apabila minum Teh Bunga Telang, terus hilang rasa letih serta amat menenangkan! Barulah seronok nak berhujung minggu,” kata Suhaimi. 

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Sambal & Style (@sambalstylesleep) on

Sebenarnya, tidak sukar untuk menghasilkan Teh Bunga Telang, berikut kami kongsikan cara-caranya:

  • Rendam 10 kuntum Bunga Telang (dipetik segar mahupun yang telah dikeringkan) dalam sebuah teko air panas, biarkan selama 15 minit. 
  • Apabila warna biru pada bunga telah larut sepenuhnya, tapis kuntum bunga tersebut. Akan kelihatan air berwarna biru-indigo yang sangat menarik. 
  • Teh Bunga Telang selalunya dicampur bersama serai, dimana ia direndam bersama kuntuman bungan bagi memberi keenakan pada rasanya. 
  • Teh ini juga boleh dinikmati bersama perahan limau bagi menghasilkan rasa masam dan manis serta menukar warnanya kepada ungu gelap. 

Jika anda rasa seperti renyah dan sukar bagi mendapatkan Bunga Telang, usah risau, datang sahaja berkunjung ke kafe kami bagi menikmati keenakan dan khasiat minuman Bunga Telang. Pastinya, kami akan sediakannya secara istimewa untuk anda!

Rujukan:

  1. Rai KS, et al. Clitoria ternatea (Linn) root extract treatment during growth spurt period enhances learning and memory in rats. Indian J Physiol Pharmacol. (2001)
  2. Taranalli AD, Cheeramkuzhy TC. Influence of clitoria ternatea extracts on memory and central cholinergic activity in rats. PharmBiol. (2000)
  3. Rai KS, et al. Clitoria ternatea root extract enhances acetylcholine content in rat hippocampus. Fitoterapia. (2002)
  4. Jain NN, et al. Clitoria ternatea and the CNS. Pharmacol Biochem Behav. (2003)
  5. Adisakwattana S, et al. In vitro inhibitory effects of plant-based foods and their combinations on intestinal glucosidase and pancreatic-amylase. BMC Complement Altern Med. (2012)
  6. Solanki YB, Jain SM. Antihyperlipidemic activity of Clitoria ternatea and Vigna mungo in rats. Pharm Biol. (2010)
  7. Evaluation of antipyretic potential of Clitoria ternatea. L. Boominathana, Subhash C.Mandala
  8. Taur DJ, Patil RY. Evaluation of antiasthmatic activity of Clitoria ternatea L. roots. J Ethnopharmacol. (2011)
  9. Taranalli AD, Cheeramkuzhy TC. Influence of clitoria ternatea extracts on memory and central cholinergic activity in rats. Pharm Biol. (2000)
  10. Piala JJ, Madisso H, Rubin B. Diuretic activity of roots of Clitoria ternatea L. in dogs. Experientia. (1962)

Yang Menarik, Yang ‘Wow’ di Sungai Melaka!

December 16, 2019 in Cerita-Ceriti

 

Suatu ketika dahulu, Sungai Melaka dikenali sebagai ‘Venice Timur’ oleh para pelayar Eropah. Ini kerana terdapatnya pelabuhan tersohor yang menjadi titik pertemuan para pedagang dari Eropah dan Asia pada penghujung abad ke-16. 

Sungai yang sepanjang 10 kilometer ini juga dikatakan menjadi tempat bersejarah bagaimana Melaka ditemui dan dibuka oleh Parameswara, lalu membina istana di sebelah bahagian timur tebingan sungai tersebut (di kaki Bukit St. Paul) pada tahun 1400-an. 

Nikmati Keindahan Sungai Melaka menerusi ‘River Cruise’

Kini, Sungai Melaka menjadi tarikan pelancong kerana terdapatnya ‘River Cruise’ yang menawarkan pengalaman menarik bersiar di tebingan sungai sambil menikmati keindahan sejarah bangunan kolonial, rumah kedai antik, penempatan setempat dan jambatan-jambatan lama serta seni mural moden yang dipaparkan pada bangunan-bangunan di sepanjang sungai. 

Apa yang menarik terdapat di sepanjang Sungai Melaka? Ini senarainya.

Jambatan dan Sungai

Sungai Melaka mengalir dari Dataran Belanda atau ‘Dutch Square’ dan melintasi Jambatan Tan Boon Seng. Ketika era penjajahan Portugis di Melaka, mereka telah menawan jambatan tersebut dan memutuskan hubungan di antara kedua-dua belah bahagian sungai serta memecahkan Melaka kepada dua bahagian, sekaligus mengakibatkan kekalahannya.  

Terdapat banyak lagi jambatan di sepanjang Sungai Melaka yang amat menarik untuk diterokai. Selain Jambatan Tan Boon Seng, terdapat juga Jambatan Hantu Melaka atau ‘Ghost Bridge of Malacca’ (jambatan pejalan kaki yang menghubungkan Kampung Pantai dan Kampung Jawa) dan Jambatan Pasar Lama atau Old Market Bridge (yang menghubungkan Kampung Hulu, Jalan Kee Ann dan Pasar Lama). 

Dikatakan pada masa dahulu, pemandangan di sekitar jambatan-jambatan ini sangat menarik dengan berlatarbelakangkan sampan-sampan nelayan, namun kini lanskapnya berubah dengan deretan bangunan-bangunan lama yang menempatkan restoran cina dan kafe-kafe. Satu fakta menarik, salah sebuah restoran di tebing sungai ini telah menjadi lokasi bagi penggambaran filem ‘blockbuster’ Hollywood, Entrapment: yang dibintangi oleh Sean Connery dan Catherine Zeta-Jones. 

Jambatan Chan Boon Cheng

 Juga terdapat di Sungai Melaka adalah Jambatan Chan Boon Cheng yang bersejarah. Suatu ketika dahulu jambatan ini dibina menggunakan struktur konkrit sehingga ubahsuai besar-besaran pada tahun 1963, apabila ia dinaiktaraf dengan fasad/kerangka besi. 

Pada awal tahun 1920-an, jambatan ini menghubungkan penempatan lama dengan ‘Chinatown’ (kini dikenali sebagai Kampung Pantai) di sebelah barat tebing sungai dengan penempatan baru di ‘Chinatown’ (menerusi Jalan Bunga Raya) di sebelah timur. 

Jambatan ini sangat terkenal dengan sejarah silam yang mengerikan. Ketika penjajahan Jepun, askar-askar Jepun telah menggantung kepala-kepala mangsa yang dipenggal pada hujung jambatan, sebagai peringatan kepada masyarakat setempat untuk tidak memberontak dan menentang mereka. 

Kampung Morten

Setelah melalui beberapa jambatan, Sungai Melaka membawa anda ke Kampung Morten; sebuah perkampungan Melayu yang diklasifikasikan sebagai tapak warisan negara. 

Kampung ini mungkin kelihatan seperti perkampungan Melayu yang lain, namun kampung ini mashyur sebagai sebuah muzium hidup dengan senibina Melayu yang terpelihara dan dipulihara sepertimana dahulukala. 

Sebuah gereja Portugis lama yang dikenali sebagai ‘Church of Rosary’ juga terletak di Kampung Morten, walaupun hanya tinggal runtuhan, namun struktur tersebut kekal dalam lipatan masa sebagai satu tanda penjajahan mereka di Melaka pada tahun 1641. 

‘Street Art’ di Sungai Melaka

Anda pasti tidak terlepas pandang terhadap seni mural yang berwarna terang pada bangunan di tebingan Sungai Melaka. ‘Street Art’ ini dapat dilihat dengan jelas di sepanjang Jalan Kampung Hulu, berdekatan Jonker Street. Juga dikenali sebagai ‘Melaka River Street Art Project’, projek ini adalah kolaborasi di antara pelukis dan artis grafiti tempatan bagi menghasilkan rekabentuk seni yang menarik mata pengunjung berlatarbelakangkan bangunan lama sebagai kanvas mereka.  

Sebagai memperingati keunikan identiti, warisan dan mercu tanda ikonik, seni mural pada bangunan-bangunan lama tersebut memaparkan orang utan, kuda liar serta buah-buahan dan makanan tempatan.  Walaupun anda boleh melihat seni mural ini dari jauh ketika menaiki ‘River Cruise’, adalah dicadangkan untuk anda menikmatinya dengan berjalan kaki, di mana anda lebih bebas untuk mendapatkan syot-syot menarik di dalam gambar. 

Pasar Malam Jonker Walk

Ketika era penjajahan Belanda, orang gaji dan pekerja-pekerja bagi penjajah Belanda tinggal di penempatan berdakatan Jalan Heeren. Setelah Belanda meninggalkan Melaka, kawasan Jonker Walk ini menjadi penempatan orang kehormat. Orang kaya peranakan mula tinggal dan berniaga di kawasan ini, memberikan dimensi rasa dan budaya etnik tersebut.

Kini Jonker Walk menjadi titik pertemuan ‘Chinatown’ yang membariskan kedai-kedai antik, pakaian, kraftangan dan kafe-kafe. Saban hujung minggu tiba, Jonker Walk akan bertukar menjadi pasar malam dengan pelbagai juadah dan barangan-barangan menarik. 

Galeri-galeri Seni

Jika anda seorang pencinta seni halus, tebingan Sungai Melaka juga menawarkan koleksi-koleksi seni hebat yang mungkin tidak terdapat di tempat lain menerusi galeri-galeri seni yang terdapat di sekitar Jonker Walk.

Antaranya adalah ‘Orang Utan House’ di mana anda sudah pasti tidak akan terlepas pandang mural orang utan gergasi di tepi galeri tersebut. 

‘Orang Utan House’ menawarkan pelbagai hasil kerja seni seperti lukisan, baju kemeja-t yang comel lagi menarik serta banyak lagi. 

Selain ‘Orang Utan House’, anda juga boleh berkunjung ke Galeri Seni Melaka, Galeri Artis Tan Siew Inn, Galeri Cheng Ho, Galeri Seni Ilusi 3D, Galeri Seni GM Choo dan Rumah Malaqa. 

Muzium-muzium Bersejarah

Kunjungan ke Melaka, tidak sempurna jika tidak melawat Muzium-muzium bersejarah di sekitar Banda Hilir, berdekatan dengan Sungai Melaka. Di sekitar Sungai Melaka, bukan hanya ada tapak bersejarah kota A’Farmosa yang menempatkan muzium-muzium di bangunan merah dan Stadhuys, malah terdapat juga muzium gaya hidup yang sangat menarik untuk dikunjungi.

Antara muzium yang harus dikunjungi adalah Muzium Warisan Baba dan Nyonya. Muzium yang terletak di barisan rumah kedai antik ini merupakan komibinasi rumah teres tiga lot yang dimiliki oleh keluarga Chan pada tahun 1861. Setelah empat generasi mendiaminya, rumah tersebut dibuka kepada umum sebagai muzium pada tahun 1985. 

Kunjungan ke Muzium Warisan Baba dan Nyonya ini mengimbau kekayaan budaya dan warisan peranakan yang dipaparkan menerusi gaya hidup dan kerencaman adat tradisi mereka.

Anda juga boleh berkunjug ke muzium-muzium lain yang menarik seperti Muzium Kebudayaan Cheng Ho, Muzium Seni Barang Kemas Cina Selat, Muzium Sejarah dan Etnografi, Muzium Kerajaan Demokratik, Muzium Kaligrafi Sim Mow Yu dan banyak lagi. 

Pengalaman Gastronomi

Setelah penat bersiar-siar di tebingan Sungai Melaka, sudah pasti akan terasa lapar dan dahaga. Di sepanjang Sungai Melaka terdapat banyak restoran, kedai makan dan kafe-kafe yang mampu menawan citarasa anda.

Bagi mereka yang gemar berhibur mendengar muzik sambil makan dan minum, Hard Rock Cafe merupakan tumpuan utama di sekitar Sungai Melaka. Berada di antara jambatan menghubungkan Banda Hilir dan Jonker Walk, Hard Rock Cafe ini pastinya mudah dilihat dari jauh apabila dilimpahi lampu neon di malam hari. 

Jika anda yang gemar melakukan eksplorasi, mencari makanan pelbagai variasi dan unik, di sekitar Sungai Melaka terdapat kafe-kafe hipster yang menawarkan pelbagai jenis kopi hingga juadah istimewa. 

Di sekitar tebing Sungai Melaka ini juga menempatkan Sambal & Style, di mana anda dapat merasai keenakan juadah tradisional yang diolah mengikut citarasa moden, semestinya memberikan pengalaman gastronomi baru. 

Itu tadi perkara-perkara menarik di sepanjang Sungai Melaka yang dapat anda rasai jika berkunjung ke Melaka. Rasa terpanggil untuk ke Melaka? Tunggu apa lagi? Tempahlah penginapan anda SEKARANG! 

Mana nak cari hidangan Sambal Hitam di Melaka? Kami ada ceritanya!

December 13, 2019 in Cerita-Ceriti

Sambal Hitam adalah hidangan tradisi istimewa masyarakat Pahang terutama di kawasan Kuala Lipis, Raub dan Jerantut.

Sambal Hitam merupakan salah satu menu yang unik selain daripada hidangan popular; gulai tempoyak ikan patin, dan mungkin ada di antara kita tidak pernah mendengar satu lagi juadah unik Pahang iaitu masak asam rong yang diperbuat daripada biji getah.

Namun begitu, hari ini kami ingin becerita mengenai Sambal Hitam dan bagaimana kami di Sambal & Style mengolah dan memberi inovasi kepada Sambal Hitam agar lebih ramai dapat menikmati keenakannya.

Untuk membuat sambal ini tidak lah mudah dan memakan masa. Bahan utama untuk membuat sambal hitam ialah belimbing buluh. Jika di sesetengah tempat, belimbing buluh ini digunakan dalam masakan seperti masak lemak pedas, masak lemak cekur atau sambal tahun. Ada juga dicampur dalam sambal mentah atau di sebut sambal gesek. Malah paling istimewa belimbing ini juga boleh dibuat halwa. Selalunya buah belimbing tersebut hanya berguguran sahaja, hendak dimakan begitu saja terlalu masam rasanya.

Perkara asas untuk membuat Sambal Hitam adalah bermula dengan membuat asam belimbing menerusi langkah-langkah berikut:

  • Belimbing-belimbing yang telah matang akan dipetik sebelum menjadi terlalu masak dan berguguran ke tanah.
  • Untuk merebus belimbing tersebut, bersihkan belimbing kemudian rebus tanpa air dengan api yang kecil. Merebus belimbing ini memakan masa yang agak lama.
  • Rebus sehingga belimbing kecut dan bertukar warna cokelat kehitam-hitaman. Biasanya rebus semalaman untuk kecut. Tempoh masa rebusan yang mencukupi bertujuan supaya ketahanan belimbing tersebut untuk disimpan lama sehingga setahun dua.

Setelah asam belimbing siap disediakan, sekarang kita boleh beralih kepada cara-cara memasak sambal hitam. Berikut kami sediakan resipi asas penghasilan Sambal Hitam yang boleh anda sediakan di rumah:

Resepi Sambal Hitam Pahang

1 mangkuk ikan bilis yang dibuang perutnya
1 biji bawang besar – hiris
10-15 biji cili padi (pedas ikut rasa masing-masing)
6-7 biji asam belimbing rebus
Sedikit kicap
Sedikit gula
Sedikit garam
3/4 cawan minyak masak (lebih kurang)

Cara membuatnya:

  • Tumbuk cili padi sehingga lumat menggunakan lesung batu.
  • Kemudian masukkan pula asam belimbing dan lenyek-lenyekkan dengan lesung biar bercampur dengan cili.
    Masukkan pula ikan bilis dan tumbuk separuh hancur.
  • Panaskan minyak. Tumiskan bawang, tak perlu tunggu bawang layu atau naik bau, terus sahaja masukkan ikan bilis yang telah ditumbuk bersama cili tadi.
  • Goreng menggunakan api sederhana.
  • Masukkan sedikit kicap, garam dan gula.
  • Kacau lagi sehingga agak-agak garing. Atau pun mengikut citarasa masing-masing. Sebab ada yang suka sambal ini rasa lembut-lembut, tak suke garing. Ada juga yang suka sedikit. Jaga-jaga jangan sampai hangit pulak. sambal ini juga boleh tahan berminggu kalau dimasak garing dan kering.
  • Apabila sudah garing tutupkan api lalu, tolakkan sambal ke tepi kuali beberapa minit supaya minyak tos sebelum dihidang. Atau boleh juga angkat dan sejatkan sambal menggunakan penapis santan sebelum dihidangkan dengan nasi putih atau ketupat pulut.

Itulah sedikit sebanyak mengenai Sambal Hitam dan bagaimana menghasilkannya. Di Sambal & Style kami mempunyai azam untuk mempopularkan juadah tempatan yang diolah mengikut citarasa moden seiring dengan peredaran zaman.

Menerusi eksperimen dan ujian cipta rasa yang dihasilkan di dapur inovasi bersama Suhaimi Sulaiman, kami telah menghasilkan beberapa juadah berasaskan Sambal Hitam yang semestinya mampu menarik lebih ramai peminat dan sekaligus meletakkan Sambal Hitam ke persada antarabangsa. Antara juadah tersebut adalah:

Nasi Goreng Sambal Hitam – Rasanya saling tidak tumpah seperti Nasi Goreng Kampung, namun rasa masam daripada belimbing telah menaikkan rasa nasi goreng ini menjadi lebih unik, apatah lagi dihidangkan bersama telur mata dan dua ketul ayam goreng rangup. Pasti anda akan menggemarinya!

Sambal Noir Spaghetti – Merupakan intepretasi moden Sambal Hitam ke dalam menu barat. Jika anda menikmati Spaghetti Sambal Noir, semestinya akan membawa memori anda mengenai Spaghetti Aglio Olio dengan Ikan Bilis Jeruk (Anchovies). Dengan bahan berkualiti masakan barat seperti keju parmesan, tomato ceri dan daun roket/arugula, menjadikan spaghetti ini berada di dalam kelasnya yang tersendiri!

Prata Sambal Hitam – Prata Sambal Hitam adalah diinspirasikan oleh Burrito dari Mexico. Sambal Hitam digaul bersama telur untuk dijadikan ‘omelette’, kemudian disumbat ke dalam roti prata/canai dan dihihidang bersama kual dhal pekat yang sememangnya kombinasi ‘win!’

Bubur Nasi /Oats Sambal Hitam – Bagi anda yang memilih untuk menikmati juadah yang lebih sihat, Bubur Nasi/Oats Sambal Hitam merupakan pilihan terbaik. Bubur Nasi/Oats disediakan ala ‘Teo Chew’ dengan pelbagai pilihan ‘side dishes’ seperti kangkung goreng, ikan bilis dan kacang goreng, halia jeruk, kobis jeruk, telur masin dan paling istimewa; Sambal Hitam dimakan bersama, semestinya membangkitkan selera anda!

 

View this post on Instagram

 

Bubur Oats Sambal Hitam.

A post shared by Sambal & Style (@sambalstylesleep) on

Jika anda ingin merasai pengalaman baru menikmati juadah Sambal Hitam di atas, datanglah berkunjung ke kafe kami, Sambal & Style, 170 Jalan Bunga Raya Pantai, 75100 Melaka.

Kami mengalu-alukan kedatangan anda!

Rujukan: http://jpnpahang.moe.gov.my/ppdjerantut/v1/index.php/ms/30-popular/87-sambal-hitam